SEKAPUR SIREH

SEKAPUR SIRIH SEULAS PINANG

 Bismillahirahmanirahim,

Assalamu’alaikum , salam sejahtera, salam 1 Malaysia, Salam Kedah Aman Makmur

 

Setinggi-tinggi kesyukuran di panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dipanjangkan usia serta dengan izin-Nya kita dapat berjumpa lagi bagi meneruskan agenda pendidikan bagi tahun 2016.

Selamat tahun baru 2016 diucapkan kepada semua warga SMKTI.Mudah-mudahan kita terus bersemangat waja dalam mendepani tugas-tugas rutin pendidikan yang semakin mencabar dan berubah dengan sangat pantas.Sebagai pendidik kita perlu mempersiapkan diri dengan arus globalisasi dunia pendidikan dan semasa supaya kita sentiasa berada di landasan yang betul seterusnya dapat bertindak pantas dan cekap dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.Seorang pendidik bukan sekadar menguasai pengetahuan dan kemahiran dalam bidangnya tetapi juga perlu ada jati diri ,berdisiplin ,mempunyai motivasi diri,sentiasa proaktif dan berinovasi. Pendidik yang hebat adalah pendidikan yang menjadi sumber inspirasi kepada anak didiknya dan orang lain.

Pendidikan adalah penyumbang utama pembangunan modal insan dan ekonomi negara. Pendidikan juga merupakan pencetus kreativiti dan penjana inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja.Sehubungan dengan itu pendidik perlu mempastikan aktiviti atau program-program pendidikan berfungsi secara berkesan.Pendidik juga perlu memahami dan menghayati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu sebuah kerangka pembangunan yang menyeluruh untuk menzahirkan transformasi sistem pendidikan secara pantas dan mapan menjelang tahun 2025.

Transformasi pendidikan dalam tempoh 15 tahun akan datang bermatlamat melengkapkan setiap murid dengan kemahiran-kemahiran baru.Kita perlu berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan,mampu berfikir secara kritis dan kreatif,mempunyai kemahiran kepimpinan,berupaya berkomunikasi dengan berkesan di samping memiliki nilai-nilai etika dan rasa tanggungjawab sebagai warga negara. Oleh itu marilah kita bersatu hati berusaha keras bagi merealisasikan agenda pendidikan negara demi kesejahteraan semua.

 

Sekian,wabillahitaufik walhidayah,warahmatullahi wabarakatuh.

…………………………………………….

NOORIAH BINTI BAHARI

Pengetua Cemerlang,

SMK Tunku Ismail,

08000 Sungai Petani,

Kedah Darul Aman.